Artikel

Prestasi E-Dagang Malaysia Naik 7.8% – Rekod RM302.4 Bilion Pada Suku Kedua 2024

Prestasi April sehingga Jun 2024 ternyata memperlihatkan pertumbuhan yang positif pada sektor Perkhidmatan negara – yang merekodkan jumlah hasil kepada RM607.1 bilion bersama lonjakan 6.8%.

Peningkatan ini menurut Jabatan Perangkaan (DOSM) antaranya didorong segmen Perdagangan Borong & Runcit, Makanan & Minuman dan Penginapan. Yang secara kolektifnya menyumbang hasil sekitar RM461.4 bilion iaitu meningkat 6.4%.

Biarpun berdepan isu ketidakseimbangan dalam aktiviti berbelanja berikutan perubahan sentimen pengguna disebabkan geopolitik dan tekanan kos semasa. Perolehan sektor Perkhidmatan kekal membrangsangkan. Ini didapati berlakunya peningkatan 2.1% prestasi berbanding 3 bulan pertama 2024.

Selain prestasi itu, segmen khidmat digital seperti e-dagang turut memperlihatkan peningkatan ketara dengan meningkat 7.8% secara tahunan sementara meningkat 3.1% secara sukuan kepada rekod pendapatan RM302.4 bilion.

Prestasi ini secara langsung memaparkan produktiviti sektor Perkhidmatan menyeluruh semakin berkembang di Malaysia, apabila kini terdapat 4.5 juta individu bekerja dalam sektor tersebut. Jumlah pekerja ini memaparkan peningkatan 1.7% berbanding suku yang sama pada 2023.

Kenaikan hasil juga turut membantu sektor meningkatkan pertumbuhan gaji dan upah ke atas kumpulan pekerjanya. Di mana meningkat 3.5% dan mencapai RM32.6 bilion kepada kumpulan pekerja sektor. Berdasarkan perbandingan, terdapat peningkatan 1% berhubunh kenaikan gaji pekerja Perkhidmatan pada suku kedua berbanding 3 bulan pertama 2024.