Artikel

Syarikat Jerman, Infineon Kini Menambah Lebih RM30 Bilion Pelaburan Di Kedah

Hasil pengukuhan rantaian semikonduktor di pasaran negara, Infineon Technologies AG – syarikat pembuat cip Jerman kini bertindak menambah RM30.1 bilion (€5 bilion) dana pelaburannya pada pembangunan kilang fabrikasi silikon karbida (SiC) 200mm di Kulim, Kedah.

Peningkatan dana pelaburan dalam mengembangkan operasi mereka bagi fasa kedua itu sekaligus membawa kepada lonjakan nilai pelaburan menyeluruhnya sekitar lebih RM40 bilion.

Lebih menarik, usaha ini turut meningkatkan lagi pasaran pekerjaan bernilai tinggi dengan menjana sekitar 1,500 peluang kerjaya pada fasa 1 dan dua – diikuti fasa ketiga pula dengan sasaran sekitar 2,500 pekerjaan disediakan.

Adanya perluasan pelaburan pada bahagian pembuatan Infineon di pasaran negara ini, ia tidak sekadar meningkatkan lagi keyakinan pelabur pada industri semikonduktor negara bahkan turut merealisasikan sasaran negara di bawah Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) menarik RM500 bilion pada fasa pertama agenda dalam perkasakan industri semikonduktor tempatan.