Artikel

Malaysia Miliki Asas Ekonomi Kukuh, Jadi Tumpuan Syarikat Asing Kembangkan Perniagaan – UOB 

Usaha negara dalam meluaskan hubungan diplomatik bersama pasaran antarabangsa kini dilihat semakin membuahkan hasil apabila menjadi antara lokasi negara yang penting untuk syarikat ASEAN dan China yang ingin mengembangkan perniagaan mereka dalam 3 tahun mendatang.

Pilihan itu menurut tinjauan UOB pada notis hari ini, menjelaskan kebanyakan perniagaan luar negara memilih Malaysia berikutan asas ekonomi yang kukuh serta negara memiliki tarikan tertentu selaku hab perniagaan serantau.

Tambahan agenda negara yang ingin mewujudkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS SEZ) dilihat akan meningkatkan permintaan industri semikonduktor dalam kalangan pelabur antarabangsa. Tidak hanya itu startegi China+1 turut dilihat akan menguntungkan negara berikutan memiliki ekosistem semikonduktor yang stabil.

Selain menjadi pilihan pengembangan operasi syarikat luar negara, pemain ekonomi tempatan turut dilihat bersedia melonjakkan pertumbuhan mereka dengan potensi ekonomi Malaysia yang kian meluas. Menurut data UOB, 76% perniagaan Malaysia optimis persekitaran ekonomi semasa akan melonjak.

Di mana antara sektor yang akan memperlihat pertumbuhan positif adalah industri minyak dan gas (90%), diikuti pembuatan dan kejuruteraan (80%).

Secara menyeluruh tinjauan UOB ini melibatkan lebih 4,000 PKS dan perusahaan besar merentasi 7 pasaran. Ia meliputi penyertaan lebih 500 perniagaan Malaysia, diikuti Hong Kong, Indonesia, Tanah Besar China, Singapura, Thailand dan Vietnam.