Artikel

J&T Express Rai 6 Tahun Operasi – Kapasiti Penghantaran Harian Kini Melonjak Lebih 103% Secara Tahunan

Sejak ditubuhkan pada 2015, prestasi J&T Express kini terus memaparkan lonjakan pada permintaan kurier kalangan pengguna Malaysia. Perihal itu dapat diperlihat pada peningkatan kapasiti penghantaran harian yang melonjak pada tahun ini sebanyak 103.16% tahun-ke-tahun.

Tidak hanya memenuhi permintaan penghantaran, J&T turut melebarkan khidmat mereka dengan menyediakan akses pembayaran kad debit menerusi telefon pintar bersama sokongan UOB Malaysia dan Fass Payment Solution (FassPay) pada Mac lalu. Akses ini secara langsung membolehkan penghantar J&T Express menerima pembayaran kad debit daripada pengguna melalui telefon pintar mereka – yang dijadikan sebagai terminal medium pembayaran (POS).

Ciri ini sekaligus tidak hanya memudahkan sesi urus-niaga dicapai bahkan turut menggalakkan lebih ramai pengguna manfaatkan transaksi secara nirtunai (tanpa sentuh) ketika berbelanja.

Maka untuk merancakkan lagi penerapan digitalisasi dalam transaksi ini, J&T Express pada ulang tahun ke-6 hari ini telah melancarkan Kempen #KasiJadi selama dua hari di dataran Piazza Pavilion Bukit Jalil pada 3 Ogos dan 4 Ogos minggu ini. Di mana pada kempen tersebut selain akses pembayaran yang lebih mudah, J&T turut menampilkan pelbagai vendor dan perniagaan kecil tempatan bersama penawaran produk menarik buat para pengguna.