Luno, bursa aset digital negara kini secara rasminya menampilkan pengenalan ciri Stake Solana (SOL) – yang berfungsi menjana ganjaran dan mengembangkan portfolio pelaburan kripto pengguna Luno.
Buat pengetahuan umum, Stake SOL ini ialah penawaran sokongan ketiga staking selepas dilaksanakan ke atas kriptowang Ethereum dan Cardano. Sebagai penjelasan mudah, Stake berperanan menjadi antara kaedah untuk pengguna menjana ganjaran dari kripto dengan membantu mengesahkan transaksi mata wang kripto. Pengguna boleh menjadikan mata wang kripto anda sebagai Stake pada projek yang menggunakan mekanisme konsensus Proof-of-Stake untuk memproses transaksi – misalnya melibatkan Solana, Ethereum dan Cardano.
Menerusi ciri ini, pengguna boleh membuka dompet staking dan menerima sehingga 5% SOL setahun hanya dengan menyimpan mata kriptowang tersebut.
Bagaimanapun kadar ganjaran tertakluk pada permintaan dan jumlah pengesah aktif. Di mana ganjaran akan dibayar pada setiap dua hari dalam bentuk SOL.
Namun Luno menjelaskan ciri Stake ini masih belum meraih pengesahan patuh syariah lagi. Maka sebarang penglibatan transaksi adalah dibawah tanggungjawab pengguna Luno sendiri.
Tidak hanya itu ciri turut tidak membolehkan pengguna untuk menjual atau menghantar koin – pengguna hanya boleh menarik semula Stake pada bila-bila masa dan barulah boleh keluarkan koin tersebut pada dompet digital staking mereka.