Tahun 2045 dijangka Malaysia akan mula perlihatkan peningkatan usia penduduk daripada masyarakat menua kepada tua di mana 1 dalam 7 penduduk negara adalah mereka yang berusia 65 tahun ke atas. Selain berdepan isu itu, Malaysia juga berisiko untuk jadi negara lebih panas dengan jangkaan mencapai suhu 40.8 darjah Celsius menjelang 2050.
Situasi ini menurut tinjauan baharu Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) secara langsung tidak sekadar menjejaskan aktiviti ekonomi bahkan memberi kesan kepada isu keterjaminan makanan di pasaran negara.
Pada pengamatan itu, suhu negara telah meningkat 0.13°C setiap dekad dan berpotensi meningkat kepada 1.6°C pada 2050 dan 4°C pada tahun 2100.
Melihat pada risiko ini, Malaysia dianggarkan memerlukan sekitar RM392 bilion untuk negara bersedia akan perubahan iklim pada tempoh 50 tahun mendatang.