Berikutan permintaan bakat digital semakin melonjak dengan jangkaan 78% majikan di Malaysia ingin memiliki pekerja digital mahir dalam tempoh 5 tahun mendatang – Payment Network Malaysia (PayNet) kini melancarkan Program Akar, yang direka untuk menangani keperluan tenaga kerja digital mahir di Malaysia, khususnya pada tumpuan industri kewangan tempatan.
Secara mudah Program Akar ini bertujuan menangani cabaran menyediakan program kemahiran digital yang inklusif dan boleh diakses, tanpa sebarang kos kepada peserta. Pemohon tidak perlu mempunyai latar belakang teknikal terlebih dahulu. AWS akan menyediakan sumber latihan, perkhidmatan awan dan kepakaran teknikal, manakala PayNet akan membiayai program dan menyokong penyepaduan kemahiran yang berkaitan dengan industri.
Sementara WEPS – World Education Placement Services pula akan berperanan memastikan penawaran kurikulum adalah mengikut keperluan semasa dan berfokuskan industri.
Maka untuk peringkat awal program ini, sekitar 100 peserta disasarkan untuk terlibat sama pada tahun 2024 – di mana kumpulan peserta akan jalani kursus latihan intensif selama 47 hari bersama pendedahan kemahiran asas awan dan pembayaran digital. Ini termasuklah pengaturcaraan, rangkaian, keselamatan dan pangkalan data. Peserta yang berjaya menghabiskan kursus latihan juga akan menduduki Peperiksaan Persijilan Pengamal Awan AWS yang diiktiraf industri untuk mengesahkan kemahiran mereka.
Setakat ini untuk fasa kohort pertama, seramai 50 peserta akan terlibat meliputi pelajar dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) bermula Julai 2024. Pada fasa itu, dimaklumkan Bank Negara, Maybank, Public Bank, Hong Leong Bank dan Bank Islam telah menyatakan minat untuk menyediakan peluang latihan amali kepada para graduan program ini.