Umum ketahui, negara kini telah melaksanakan penyasaran subsidi ke atas penggunaan minyak diesel di pasaran. Berikutan langkah itu, didapati sebanyak 6.5 juta liter diesel sehari telah berkurangan pada jualan pasaran negara.
Pengurangan 23% jualan diesel ini sekaligus menunjukkan terdapat pelbagai pihak menyalahgunakan manfaat tersebut dan menyeludup bekalan tersebut ke negara jiran berikutan harga yang lebih rendah sebelum ini.
Data perkongsian Kementerian Kewangan (MOF) ini turut menyimpulkan jualan diesel secara komersial pula telah meningkat sebanyak 4.8 juta sehari pada tempoh tinjauan. Ini susulan sokongan pihak industri yang beralih dari harga subsidi kepada diesel komersial yang ditetapkan RM3.35 seliter.
Berbalik kepada kejatuhan jualan diesel didapati stesen minyak di kawasan berdekatan sempadan alami penurunan jualan diesel secara mendadak antara 40% sehingga 50%.
Situasi ini baik buat negara, dengan menandakan aktiviti penyeludupan juga semakin berkurangan secara berkala.