Artikel

SC Beri Amaran – Orang Awam Perlu Waspada Penipuan Pelaburan DeepFake, Menyamar Personaliti & Syarikat Ternama

Orang awam kini digesa untuk mengatur langkah berjaga-jaga akan taktik penipuan pelaburan baharu di pasaran semasa. Antaranya penggunaan penipuan pelaburan ‘deepfake’ yang dicipta melalui kecerdasan buatan (AI) bagi menyamar selaku personaliti dan syarikat terkemuka.

Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini telah dikenalpasti berikutan terdapat perkongsian video yang seolah menampilkan tokoh awam atau syarikat tertentu dalam mempromosikan pelaburan yang tidak sahih.

Pada perkongsian tersebut telah dilampirkan bahagian ‘Ketahui Lebih Lanjut’ mengakibatkan ramai pengguna awam terjebak akan pendedahan maklumat peribadi mereka berikutan mengakses pautan itu.

Setakat ini SC bersama Meta telah bekerjasama menurunkan video sedemikian untuk mengekang akses kepada pihak awam. Tidak hanya itu, usahasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak berkuasa turut dilaksanakan untuk membendung aktiviti penipuan pelaburan tersebut.

Maka untuk langkah berjaga, semua pihak awam digalakkan mengesahkan tawaran pelaburan terlebih dahulu menerusi Semak Sebelum Labur – SC Investmen Checker bagi memastikan tidak terjebak akan sebarang penipuan di pasaran pelaburan negara.