Artikel

Peruntukan RM1 Bilion Dana National Fund-of-Funds Buat Startup – Dijangka Selesai Oktober Ini

Beiringan dengan matlamat negara untuk merancakkan arena perniagaan dan startup tempatan – dimaklumkan peruntukan awal RM1 bilion di bawah National Fund of Funds kini di fasa akhir dan ia berupaya diselesaikan sepenuhnya pada Oktober 2024 kelak.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF) status kemajuan ini, secara langsung mencerminkan komitmen negara akan penyediaan pelaburan modal teroka (VC) buat pemain startup yang berpotensi tinggi dan ekuiti persendirian (PE).

Bagi peringkat awal peruntukan berjumlah RM1 bilion, dimaklumkan ia melibatkan Khazanah Nasional selaku penyumbang majoriti, disusuli dana pada Malaysia Venture Management (MAVCAP) dan Penjana Kapital.

MOF memperincikan dana tersebut akan dilaburkan kepada pengurus dana pada startup berpotensi dan menerusi langkah itu ia akan merancakkan lagi aliran pelaburan bersama startup tempatan. Setakat 2023, Malaysia sekadar mencatatkan 130 transaksi VC dengan nilai jumlah $332 juta.

Untuk makluman, jumlah ini lebih rendah berbanding negara jiran yang lain dengan Indonesia sekitar 205 transaksi bersama nilai $1.2 bilion sementara Singapura pula dengan 846 transaksi VC dengan nilai $7.9 bilion.

Menerusi sokongan NFOF dijangka ia akan menyumbang peningkatan kadar penembusan VC kepada $1.4 bilion menjelang 2030 kelak.