Artikel

SC: Pempengaruh Kewangan Perlu Miliki Lesen – Jika Promosi Khidmat, Produk Tertentu Di Media Sosial

Menyedari terdapatnya peningkatan populariti pempengaruh kewangan (Finfluencer) dalam mempromosikan produk dan perkhidmatan pasaran modal di medium media sosial – maka Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) kini memaklumkan telah mengemaskini Nota Panduan Penyediaan Nasihat Pelaburan buat semua pihak.

Antara yang diperjelaskan adalah bagi sebarang aktiviti mempromosi produk pasaran modal di platform media sosial mungkin memerlukan lesen daripada SC dalam keadaan tertentu.

Misalnya, perkongsian cerapan kewangan atau pengesyoran dalam mempromosikan produk pasaran modal tertentu kepada pengikut (followers) dengan jangkaan komisen atau ganjaran lain akan memerlukan lesen.

Menerusi penjelasan itu, Finfluencers harus mengambil perhatian bahawa penglibatan diri dalam aktiviti terkawal tanpa lesen merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).

Maka sekiranya individu berkaitan didapati bersalah – kumpulan ini boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara tidak melebihi sepuluh tahun atau kedua-duanya sekali. Susulan itu, Finfluencer harus mengesahkan bahawa syarikat yang mereka promosi adalah dilesenkan atau diluluskan oleh SC dengan menggunakan portalĀ Semak Sebelum Labur SC.

Bagi pempengaruh kewangan yang ingin ketahui sama ada aktiviti yang dilaksanakan anda memerlukan kelulusan SC ataupun tidak – boleh merujuk pada pautan Perlesenan Aktiviti SC ini.

Kemaskini ini secaa menyeluruh bertujuan menegakkan keseimbangan pengawalseliaan terhadap aktiviti finfluencer kerana khidmat nasihat pelaburan merupakan aktiviti terkawal di bawah undang-undang sekuriti.