Artikel

Syarikat Sebalik Ray-Ban Mengambil-Alih Supreme Pada Nilai $1.5 Bilion

EssilorLuxottica kini mengumumkan akan mengambil-alih salah satu jenama gaya hidup, Supreme pada nilai mencapai $1.5 bilion, iaitu sekitar RM7 bilion mengikut kadar tukaran semasa. Bagi yang tidak mengenali akan EssilorLuxottica, ia merupakan syarikat induk disebalik jenama kaca mata seperti Ray-Ban, Oakley, dan sebagainya.

EssilorLuxottica melihat peluang yang besar dalam membawa jenama Supreme dibawah penawaran perniagaan mereka – sekaligus mencapai golongan baharu meliputi minat dengan identiti yang unik.

Jenama Supreme telah diasaskan pada tahun 1994 di New York, dan mempunyai peminatnya tersendiri. Pada tahun 2020, Supreme telah dibeli oleh VF Corporation (yang mempunyai jenama seperti Timberland, The North Face dan Vans) pada nilai $2.1 bilion. Namun, jenama Supreme dilihat tidak begitu berkembang kebelakangan ini, malah kadar nilai jualan balik pada pasaran kedua juga dilihat memperlihatkan penurunan. Ini sekaligus membuatkan jenama berkenaan kini dijual pada nilai lebih rendah berbanding pembelian sebelum ini.

Sama-sama kita nantikan perkembangan jenama Supreme dibawah EssilorLuxottica selepas ini. Transaksi pertukaran pembelian Supreme ini dijangka akan selesai sepenuhnya sekitar penghujung 2024 ini.