Setelah pembukaan operasi Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kelantan fasa 1 direalisasikan pada 1 Mei 2024 lalu, kini dimaklumkan fasa 2 pula dijangka selesai sekitar 26 Januari 2025 kelak.
Prestasi kemajuan lapangan terbang tersebut secara langsung akan meningkatkan lagi kapasiti terminal lapangan daripada 1.5 juta penumpang kepada keupayaan menampung 4 juta penumpang bagi setiap tahun.
Tidak hanya pembukaan itu, Kementerian Pengangkutan (MOT) turut sedang meneliti skop teknikal dan anggaran kos melibatkan pemanjangan landasan dengan tambahan sebanyak 400 meter. Menerusi pemanjangan tersebut, lapangan terbang ini berupaya menampung pesawat dengan Kod 3C seperti Boeing 737-Max dan Airbus 321 Neo bersama jarak perjalanan sehingga 5 jam.
Ini bermakna potensi perluasan LTSIP ke arah pengendalian penerbangan antarabangsa mampu dicapai kelak. Aturan itu difahamkan akan mengambil masa selama 18 bulan dan akan dikemaskini secara berkala kepada umum.