Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan kutipan hasil cukai berasaskan penggunaan kini telah alami pengurangan setelah cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) dilaksanakan – bagi menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST) di pasaran negara sejak Mei 2018.
Di mana ketika GST berkuat kuasa, negara mencatatkan kutipan hasil cukai yang lebih tinggi dengan RM37.7 bilion (2015), RM55.7 bilion (2016), RM60.5 bilion (2017) dan RM30.9 bilion (setakat Mei 2018).
Namun setelah SST dilaksanakan semula, kutipan hasil cukai penggunaan negara adalah sekitar RM5.4 bilion (September-Disember 2018), RM27.6 bilion (2019), RM25.2 bilion (2020), RM25.5 bilion (2021), RM31.3 bilion (2022) dan RM35.4 bilion (2023).
Melihat dua perbandingan kutipan cukai tersebut, jelas memaparkan jumlah GST terus atasi SST – iaitu setakat April 2015 sehingga Mei 2018 ia membawa jumlah RM184.8 bilion, sementara jumlah kutipan SST pula sebanyak RM150.4 bilion bagi tempoh September 2018 sehingga akhir 2023.
Data itu secara puratanya menunjukkan kutipan SST secara tahunan lebih rendah 51.6% berbanding GST.
Keadaan ini menurut MOF didorong kesan skop kenaan SST adalah lebih kecil iaitu meliputi 41% daripada keseluruhan barang dan perkhidmatan yang dijual pada pasaran semasa berbanding 76% daripada barang dan perkhidmatan yang dijual di bawah skop kenaan GST.