Artikel

BNM: Lesen Pengendali Insurans, Takaful Digital Akan Dibuka – Tidak Lagi Terhad Kepada 5

Memahami keperluan akses perlindungan di Malaysia semakin meluas, Bank Negara Malaysia (BNM) kini memaklumkan akan membuka permohonan lesen pengendali insurans dan takaful digital (digital insurers and takaful operators, DITO) pada pasaran – bermula 2 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2026 kelak.

Tindakan ini bermakna, penawaran lesen DITO tidak lagi terhad kepada 5 pemegang lesen seperti yang dilaksanakan pada tahun 2023.

Bagaimanapun untuk penyertaan baharu ini, diperincikan DITO berlesen perlu lalui Fasa Asas bagi tempoh 3 hingga 7 tahun bagi membuktikan daya maju perniagaan dan kekukuhan operasi mereka kepada BNM. Sepanjang tempoh fasa asas ini, DITO juga perlu mengekalkan dana modal minimum yang lebih rendah dan setara dengan operasi perniagaan DITO pada peringkat awal.

Maka adanya peluang meluaskan penyertaan lesen DITO ini, ia sekaligus akan melengkapkan lagi ekosistem perlindungan negara bersama penanggung insurans dan takaful berlesen sedia ada di pasaran.

Sebarang tindakan lanjut, semua pihak yang berminat boleh layari dan laksana perbincangan bersama BNM melalui [email protected]. bermula 1 Oktober 2024 ini – sebelum kemukakan permohonan rasmi kepada BNM pada tempoh 2 Januari 2025 sehingga 31 Disember 2026 kelak.