Kesan tekanan kos semasa, kekurangan pengetahuan pengurusan wang kini didapati 65% pekerja di Malaysia akui berdepan tekanan kewangan dan disebabkan itu ia secara langsung menjejaskan prestasi mereka di tempat kerja.
Dapatan laporan Financial Education Well-being Research Centre (FEWRC) Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ini jelas menunjukkan pengurusan wang yang baik berupaya mempengaruhi kesejahteraan semasa individu.
Berdasarkan perincian lanjut, secara purata 70% pekerja dewasa di Malaysia berada pada tahap kesejahteraan wang terendah adalah pekerja yang berprestasi rendah. Manakala 78% daripada kumpulan ini yang memiliki tahap kewangan yang stabil pula memiliki jangkaan produktiviti yang baik ketika bekerja.
Berikutan situasi ini, ia turut mendorong kepada tahap kesetiaan pekerja dalam sesebuah organisasi dan syarikat. AKPK mendapati 91% pekerja dewasa yang tiada masalah pengurusan wang cenderung lebih setia kepada syarikat mereka berbanding 89% yang berdepan masalah tersebut, lebih aktif mencari pekerjaan baharu.
Maka untuk mengatasi isu ini, keperluan pendidikan kewangan harus diperluaskan, ini termasuklah komitmen para majikan. Berlandaskan tuntutan itu, sekitar 74% pekerja negara ingin menambah-baik isu tersebut dengan menghadiri kursus kewangan namun hanya 48% majikan pula menyatakan ketersediaan mereka untuk menganjurkan keperluan tersebut.