Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) kini mencadangkan MARA untuk melaksanakan Pelan Rasionalisasi bagi menyelesaikan isu tunggakan hutang berkaitan pinjamannya. Setakat ini didapati sejumlah RM190.60 juta bayaran balik pinjaman MARA tidak dilunaskan. Angka tersebut merangkumi 95.4% daripada pinjaman.
Berikutan tunggakan tersebut ini secara langsung memberi kesan kepada kedudukan liabiliti (jumlah hutang) semasa bersih syarikat. Laporan turut memperincikan MARA Inc, syarikat pelaburan kerajaan ini berdepan kerugian terkumpul semasa sekitar RM286.30 juta.
Prestasi yang dikategorikan kurang cekap ini turut memperlihatkan MARA Inc tidak berupaya untuk membayar dividen kepada pemegang saham sejak tahun 2014 lagi.
Tidak hanya itu, prestasi kewangan syarikat subsidiarinya juga turut berdepan status kewangan yang kurang stabil. Hanya RM28.12 juta (7.3%) dividen dibayar daripada pelaburan RM382.94 juta dalam syarikat subsidiari.
Maka untuk membaik-pulih prestasi ini, LKAN mengesyorkan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bersama MARA supaya tingkatkan pemantauan terhadap prestasi kumpulan – ini termasuklah MARA Corp dan MARA Inc. Pada langkah itu, terdapat potensi untuk menjamin kepentingan, pulangan dan pengurusan hartanah yang lebih menguntungkan kepada syarikat di masa hadapan.