Artikel

BNM: Syarikat Insurans, Takaful Masih Dibenarkan Tawar Produk MHIT Tanpa Ciri Perkongsian Kos & Deduktibel Bawah RM500

Menyedari terdapat beberapa kekeliruan berhubung penawaran produk insurans, takaful kesihatan dan perubatan (MHIT) baharu yang bakal dikuat kuasakan pada 1 Sepemter 2024 ini – Bank Negara Malaysia (BNM) kini menjelaskan syarikat insurans, pengendali takaful (ITO) masih dibenarkan untuk menawarkan produk MHIT sedia ada tanpa ciri pembayaran bersama (co-payment), termasuk produk deduktibel kurang daripada RM500.

Tindakan itu menurut BNM telah dinyatakan secara jelas pada Dokumen Dasar berkenaan Perniagaan MHIT yang telah diterbitkan pada akhir Februari 2024.

Berhubung pelaksanaan baharu pula, dijelaskan ITO dikehendaki menawarkan produk pembayaran balik kos perubatan, seperti kad perubatan, yang mempunyai ciri-ciri pembayaran bersama (iaitu deduktibel, insurans bersama/takaful bersama) sebagai PILIHAN pada masa jualan atau pembaharuan polisi/sijil MHIT sedia ada – yang akan berkuat kuasa pada 1 September 2024.

Tujuan produk perlindungan perubatan bercirikan perkongsian kos ini adalah – untuk menggalakkan pengguna untuk mengambil peranan yang lebih aktif dalam penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan mereka. Seterusnya akan membantu mengurangkan tuntutan perubatan palsu dan mengawal inflasi kos perubatan yang telah meningkat sebanyak 36.3% secara kumulatif dari tahun 2020 hingga 2022.

Adanya penawaran ciri tersebut ini turut membantu pengguna meraih kadar berpatutan pada pelan perlindungan perubatan insurans dan takaful mereka.

Menerusi aturan itu, pengguna dinasihatkan untuk pertimbang tahap kewangan semasa dan merujuk kepada ITO untuk dapatkan penjelasan lanjut berhubung produk MHIT.