Artikel

Jual Beras Tanpa Lesen Di E-Dagang, Peniaga Berpotensi Didenda Sehingga RM25,000 – KPKM

Padi dan beras untuk pengetahuan semua adalah barang kawalan yang tertakluk di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) pada pasaran negara. Ini bermakna sebarang urus-niaga melibatkan barang kawalan ini perlu memiliki lesen yang sah. Ketiadaan lesen berupaya mendorong peniaga kepada tindakan perundangan.

Tidak hanya urus-niaga di peringkat kilang, borong, runcit – platform e-dagang juga akan berdepan aturan yang sama.

Ketika ini sejumlah 94 iklan berkaitan penjualan beras secara atas talian telah diturunkan oleh penyedia e-dagang berikutan peniaga yang terlibat didapati tidak miliki lesen yang diperakui Kawalselia Padi dan Beras (KPB). Malah semakan turut dapati beras yang dijualjuga adalah dari sumber yang tidak sah iaitu tidak mendapat kelulusan pentadbiran negara.

Berikutan situasi itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi amaran kepada peniaga untuk tidak melakukan penjualan beras tanpa lesen sewenangnya. Sekiranya didapati bersalah,  para peniaga yang menjual secara fizikal mahupun atas talian -berpotensi berdepan denda sehingga RM25,000 atau dipenjara selama 5 tahun.

Susulan itu, digalakkan untuk semua peniaga barang kawal cakna akan keperluan lesen bagi barang kawalan. Menerusi akses itu terdapat pelbagai kelebihan dagangan berupaya diraih peniaga dalam perkhidmatan pasaran.