Artikel

TNG eWallet Kini Bolehkan Pengguna Melabur Emas Serendah RM10 – Menerusi e-Mas

Untuk mempergiatkan lagi penyertaan pengguna negara dalam skop pelaburan, TNG Digital bersama CIMB kini memperkenalkan e-Mas – ciri pelaburan emas baharu buat pengguna menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet. 

Menerusi ciri ini, pengguna kini boleh laksana aturan jual-beli emas menerusi TNG eWallet dengan harga serendah RM10. Lebih menarik lagi, ketika melabur pengguna turut boleh memantau pergerakan harga emas semasa secara terus melalui aplikasi. 

Malah TNG eWallet turut membolehkan pengguna laksana pembelian emas secara harga Ringgit Malaysia mahupun secara berat Grams. Pada tindakan itu, aplikasi akan laksana pengiraan buat pengguna sebelum pengesahan pelaburan dilakukan pengguna.

Pengguna turut disarankan tindakan pembelian atau penjualan emas ini mesti dilaksanakan oleh pengguna dalam waktu operasi dari pukul 1.30 pagi sehingga 11.30 malam. Sekiranya aturan itu dilaksanakan diluar waktu operasi – TNGD berhak membatalkan, membalikkan atau memansuhkan sebarang pesanan pembelian dan pejualan.

Tambahan pengguna perlu sedar, prinsipal pelaburan emas ini adalah tidak dilindungi PIDM. Ini bermakna akses pelaburan emas ini adalah tertakluk kepada membeli dan menjual emas berdasarkan harga emas lazim setiap hari sahaja. Maka sebarang isu berlaku, TNGD tidak menjamin sebarang pulangan pendapatan atas pelaburan emas dan pengguna turut berisiko untuk tidak perolehi pulangan langsung.

Selain itu penawaran produk pelaburan adalah tidak patuh syariah. TNGD dan CIMB memaklumkan untuk manfaat itu pihaknya masih dalam semakan dan akan dimaklumkan sekiranya dikemas-kini kelak.

Secara menyeluruh, untuk tahun 2024 sahaja – TNGD menyasarkan untuk meraih 500,000 penyertaan pengguna pada segmen pelaburan e-Mas. Maka untuk langkah sokongan tersebut, para pengguna boleh memuat turun aplikasi TNG eWallet dan klik pada bahagian GoFinance untuk pendaftaran pelaburan emas bersama TNGD dan CIMB.