Sepanjang tempoh 6 bulan pertama ini, negara menyaksikan terdapat 4 firma multinasional dengan jumlah pelaburan RM7 bilion telah bertindak menghentikan operasi di Malaysia.
Perkongsian Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Zafrul pada sidang Dewan Rakyat itu menjelaskan antaranya ialah syarikat Goodyear Malaysia Bhd, diikuti tiga lagi syarikat adalah dari industri pengangkutan, besi dan keluli serta makanan.
Langkah pemberhentian operasi itu menurut MITI didorong atas beberapa faktor seperti tindakan pelarasan modal perniagaan, penstrukturan semula syarikat kesan kerugian berturutan serta aturan penjajaran selaras dengan permintaan pengeluaran global semasa.
Walaupun negara berdepan situasi tersebut, namun ia tidak mengugat prestasi kemasukan pelaburan ke negara. Di mana setakat Januari 2023 sehingga Mac 2024 sejumlah RM184.9 bilion pelaburan telah diluluskan di bawah MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia. Agenda itu melibatkan 1,135 projek merentasi sektor pembuatan yang disasarkan mewujudkan sekitar 91,930 pekerjaan baharu.
Secara menyeluruh, pelaburan asing negara ketika ini telah menyumbang RM166.6 bilion (85.5%) sementara pelaburan tempatan pula RM28.3 bilion (14.5%).
Ini perincian penamatan 4 syarikat multinasional yang menghentikan operasi di negara oleh MITI:
- 1 syarikat di dalam industri produk berasaskan getah, iaitu Goodyear Malaysia Bhd. dengan majoriti pegangan saham asing, telah menutup operasi di Malaysia
- 2 syarikat perkilangan di dalam industri pengangkutan serta besi dan keluli, dengan majoriti pegangan saham asing akan menutup operasinya secara berperingkat sehingga bulan Disember 2024; dan
- 1 syarikat di dalam industri makanan, dengan majoriti pegangan saham tempatan akan menutup salah satu operasinya secara berperingkat, sehingga Disember 2024 iaitu di Pelabuhan Klang, Selangor, manakala operasi kilang syarikat di Johor akan diteruskan
Pelaburan keseluruhan bagi keempat-empat syarikat ini berjumlah RM7.0 bilion.