Telekom Malaysia Bhd (TM) menerusi anak syarikatnya TM Technology Services (TM Tech) kini laksana perjanjian bersama Kementerian Komunikasi bagi menyediakan perkhidmatan talian kecemasan Next Generation Emergency Services 999 (NG999) bernilai RM1.25 bilion.
Kenyataan kepada Bursa Malaysia ini memperincikan perjanjian NG999 adalah kesinambungan daripada khidmat kecemasan sedia ada iaitu Malaysian Emergency Response Services 999 dengan semua nombor talian kecemasan disepadukan kepada talian 999.
Menerusi pembaharuan itu, NG999 akan menjadi platform digital buat orang awam mengakses talian kecemasan di bawah 5 agensi kecemasan utama di Malaysia. Ia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Berdasarkan aturan itu, NG999 akan mula dilaksanakan pada tahun ini selama 12 tahun, sehingga 2036 – dijangka akan mula beroperasi selewatnya tahun 2025.
Di mana dalam tempoh setahun melibatkan fasa pembangunan, diikuti 11 tahun pula mengurus perkhidmatan. NG999 difahamkan turut akan memanfaatkan teknologi melibatkan analisis data dan kecerdasan buatan (AI) dalam menyampaikan bantuan kecemasan dengan lebih berkesan kepada masyarakat awam.