Artikel

Penganjur Olimpik Berisiko Rugi – Penonton TV Semakin Menurun, Lebih Ramai Ikuti Di Media Sosial

Kurang 4 minggu lagi, Temasya Olimpik 2024 akan mula membuka tirai di Paris, Perancis pada 26 Julai ini – menerusi aturan tersebut, sudah pasti pelbagai acara sukan akan ditonton oleh semua peminat global, sama ada secara langsung mahupun menerusi medium televisyen dan media sosial. Namun menyentuh soal siaran, tahukah anda ketika ini tontonan di televisyen semakin merudum? Ini kerana ramai peminat sukan dilihat mula beralih mengikuti sorotan di media sosial.

Perubahan tingkahlaku penonton ini secara terus akan memberi kesan langsung kepada penganjur Olimpik – yang meraih 60% hasil daripada penjualan hak penyiaran menerusi televisyen.

Menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dinamik ini mula diperlihatkan setelah temasya Olimpik Tokyo ditangguhkan akibat krisis COVID-19 pada 2020. Di mana ketika ia dilaksanakan pada 2021, pengurusan dapati tontonan menerusi televisyen telah menurun 5% berbanding temasya Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan menurun 15% daripada Olimpik London 2012.

OIC dapati hanya 3.05 bilion individu menonton siaran Olimpik menerusi TV dan internet pada temasya Tokyo 2021.

Sebaliknya, menerusi sorotan dan klip video rakaman di media sosial pula telah merekodkan tontonan sebanyak 28 bilion kali ketika Olimpik Tokyo berbanding 11.6 bilion kali semasa Olimpik Rio 2016 dan 1.9 bilion kali pada Olimpik London 2012.

Situasi itu tanpa sedar berupaya menjejaskan pulangan kepada rakan penganjur dan jenama yang terlibat. Malah keadaan ini dijangka berpanjang pada temasya Olimpik Paris 2024. Ini berikutan terdapat perbezaan masa antara negara yang boleh menyebabkan jumlah penonton TV kekal berkurangan. Antaranya yang bakal terkesan adalah penonton negara Jepun.

Menerusi penurunan itu ia berupaya menjejaskan hasil pengiklanan dan penyusutan nilai yen.

Selain faktor medium siaran – isu kadar kelahiran, pendapatan dan minat ke atas sukan juga perlu diteliti semua pihak di seluruh negara. Setakat 2023 sahaja didapati terdapat penurunan penyertaan belia dalam aktiviti sukan di peringkat persekolahan. Keadaan ini turut diburukkan lagi dengan peningkatan kos, memerlukan akses kewangan dalam aktiviti sukan tertentu. Perihal itu secara berkala berpotensi menjejaskan lagi asas sukan di masa hadapan.