Perlu diakui ketika ini akses makanan kurang sihat dilihat semakin tinggi – pengguna boleh perolehinya tidak hanya di restoran makanan segera namun turut tersedia di kafe hipster, kedai serbaneka dan di ruangan atas talian. Situasi ini secara langsung meningkatkan lagi jurang ketidaksamaan nutrisi pengguna negara khususnya kalangan berpendapatan rendah (B40) di Malaysia.
Pengamatan Khazanah Research Insitute (KRI) pada laporan Unhealty But Not by Choice ini menjelaskan secara asasnya pengguna B40 lebih cenderung mengamalkan diet berkualiti rendah – ini tidak sekadar disebabkan kesan pendapatan yang diraih rendah, namun keutamaan perbelanjaan mereka lebih tertumpu, diutamakan ke arah pendidikan mahupun kesihatan.
Tidak hanya itu kos pemakanan sihat juga diperhatikan terus meningkat, antaranya sebilangan kategori dalam buah-buahan dan sayur-sayuran. Berdasarkan anggaran KRI, isi rumah melibatkan 5 orang bagi kumpulan B40 – yang menetap di bandar kos terendah (Kota Bharu) perlu berbelanja kos minimum sehari sekitar RM25.21 dan RM38.65 sehari sekiranya di bandar termahal (Kuching).
Melihat pada tuntutan itu ia menjadikan komponen tersebut bukan lagi pilihan makanan yang mampu dibeli oleh semua pengguna.
Tambahan, ketersediaan makanan di luar rumah pula diperhatikan sering dikaiktkan dengan tinggi kalori dan diet berkualiti rendah. Ia meningkatkan lagi kesukaran pengguna untuk mengamalkan makanan sihat. Disusuli adanya platform penghantaran makanan di pasaran yang turut memberi akses mudah kepada makanan segera dan minuman bergula diperolehi.
Rentetan isu ini, KRI menyarankan beberapa pendekatan difokuskan oleh pihak berwajib. Ianya mengukuhkan kesedaran dan pendidikan berhubung kepentingan nutrisi, tambah-baik dasar persekitaran makanan seperti cukai minuman bergula, garis panduan pengiklanan makanan segera serta perluaskan dasar persekitaran makanan dengan meneliti kesan pemasaran digital dan tangani cabaran berikutan berlakunya peningkatan kadar makan di luar.
Menerusi aspek sedemikian, ia secara langsung akan membantu rakyat Malaysia melandaikan kesan ketidaksamaan nutrisi yang kian meningkat pada masa ini. Aturan itu secara langsung tidak hanya membantu struktur ekonomi bahkan aspek sosial dan kesihatan akan turut bertambah-baik secara berkala.