Artikel

Kenanga Investment Bank Akan Meningkatkan Pegangan Pada Merchantrade Asia Kepada 19.94%

Kenanga Investment Bank kini telah menerima kebenaran Bank Negara Malaysia, untuk mengambil-alih pegangan tambahan sebanyak 15.20% pada Merchantrade Asia Sdn Bhd. Dengan kebenaran ini, Kenanga Investment Bank akan mempunyai pegangan sebanyak 19.94% pada Merchantrade, berbanding 4.7% sebelum ini.

Langkah ini sekaligus menjadikan Kenanga Investment Bank sebagai pemegang saham kedua terbesar pada Merchantrade, selepas pengasasnya.

Kenanga Investment Bank menyatakan langkah ini memperlihatkan komitmen mereka dalam terus menggunakan pelbagai teknologi terkini untuk merevolusikan perkhidmatan kewangan dan penawarannya.

Merchantrade sedia memfokuskan kepada beberapa perkhidmatan teras, termasuk pengiriman wang antarabangsa, pertukaran wang, perkhidmatan edompet dan sebagainya. Merchantrade juga mempunyai subsidiari memfokuskan perkhidmatan telekomunikasi, dinamakan Valyou.