Artikel

TM, Singtel-Nxera Bekerjasama Bangunkan Pusat Data Di Johor 

Malaysia terus mengukuhkan kedudukan negara ASEAN selaku lokasi pilihan dalam pembangunan pusat data – apabila terbaharu pelaksanaan tersebut kini diteliti antara Telekom Malaysia bersama Nxera cabang pusat data Singapore Telecommunications (Singtel), di bawah unit Digital InfraCo Singtel.

Makluman kepada Bursa Malaysia itu, memperlihatkan usahasama TM melalui unit milik penuhnya TM DC Educity bersama Nxera itu akan membentuk entiti kerjasama (JV) yang dinamakan sebagai ST Dynamo DC.

Pembentukan pusat data ini bagi peringkat awal dirancang untuk kapasiti 64MW dan dijangka boleh dipertingkatkan sehingga 200MW berlandaskan permintaan semasa.

Ia juga berupaya memenuhi keperluan hiperskala, penyedia aplikasi AI generasi baharu dan perusahaan yang mahu mempercepatkan pendigitalan dan pengkomputeran awan di rantau ini.

Lebih menarik pembangunan hab tersebut akan menerapkan konsep kelestarian yang diperakui LEED iaitu kepimpinan dalam reka bentuk tenaga dan alam sekitar, yang seiring dengan matlamat kedua operasi pada komitmen kecekapan tenaga lebih mampan.

Ketika ini difahamkan ST Dynamo dalam usaha meraih tanah pegangan bebas seluas 168,959 meter persegi dari River Retreat pada nilai RM178.23 juta. Buat pengetahuan umum River Retreat dimiliki sepenuh Iskandar Coast yang merupakan anak syarikat 80% milik Iskandar Investment Bhd (IBB).

Pada tindakan itu, TM DC Educity akan meraih 51% kepentingan, sementara Nxera pula akan mengawal baki 49% kepentingan dalam ST Dynamo. Namun aturan menyeluruh dijangka akan diselesaikan menjelang separuh pertama 2025. Aturan itu bagaimanapun kekal tertakluk kepada kelulusan TM bersama kerajaan negeri Johor serta Bahagian Pembangunan Ekuiti Kementerian Ekonomi.

Selain pusat data, kedua pihak turut merancang perluaskan sambungan kabel dasar laut antara Singapura dan Johor – dalam usaha meningkatkan ketersambungan digital kedua negara.