Setelah dijenamakan semula – Carro, antara syarikat yang menumpukan penjualan-beli kenderaan di pasaran serantau kini telah membuka Pusat 4S pertama Asia Pasifik-nya di Malaysia untuk kemudahan pengguna automotif tempatan.
Hab 4S yang bertempat di Seremban, Negeri Sembilan ini untuk makluman menyediakan pelbagai kemudahan secara menyeluruh untuk pengguna Malaysia. Ia tidak sekadar khidmat jualan namun turut menyertakan akses servis, bekalan alat ganti, khidmat baik-pulih kenderaan dan cat kenderaan.
Selain kemudahan tersebut, pusat ini turut dilengkapi dengan sokongan teknologi proprietari, keupayaan kecerdasan buatan (AI) dan pakar bertauliah Carro bagi membolehkan Carro memberikan perkhidmatan yang efisien dan cekap kepada setiap pelanggan sepanjang pemilikan kereta.
Menerusi pembukaan secara rasmi yang telah dilaksanakan pada 15 Jun lalu, pusat sehenti berkeluasan 43,000 kaki per segi ini turut menyertakan khidmat teknikal bersama Jardine Cycle & Carriage bagi menyokong prosedur selepas jualan dan servis dilaksanakan.
Pada kapasiti dan kelengkapan khidmat itu, Carro menjangkakan Pusat 4S berupaya membaikpulih sekitar 250 hingga 300 kereta sebulan dan mampu mengendalikan 50 kerja pembaikan dan cat dalam tempoh yang sama.
Secara menyeluruh Carro kini miliki 10 pusat jualan, 27 pusat pemeriksaan, 5 pusat servis dan 2 pusat baik pulih di seluruh pasaran Malaysia.