Artikel

Projek Aerotrain KLIA Dijangka Siap Lebih Awal, Menjelang 31 Januari 2025 – MAHB

Ternyata pengguna khidmat penerbangan akan mula menikmati semula kemudahan aerotrain KLIA pada tahun hadapan, dengan jangkaan tarikh penyelesaian lebih awal. Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan fasa naik taraf fasiliti itu akan tersedia buat pengguna menjelang 31 Januari 2025 kelak.

Aturan di bawah kerjasama Malaysia Airport Sepang bersama Alstom, IJM Construction dan Pestech Tech ini akan memperlihatkan ketersediaan tiga tren baharu, diikuti proses naik taraf laluan dan fasa pengujian operasi lebih selamat pada kemudahan aerotrain KLIA.

Buat pengetahuan, berikutan sesi penggantian dilaksanakan sejak 2022 lalu – para pengguna diperlukan menggunakan khidmat bas sementara untuk bergerak ke terminal pesawat. Situasi itu secara langsung telah menimbulkan kesukaran kepada segelintir kategori penumpang, antaranya warga emas dan kanak-kanak.

Maka adanya tempoh penyelesaian yang lebih awal berbanding jangkaan siap pada Mac 2025 ini, ia sekaligus akan membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan penerbangan negara secara berperingkat.