Artikel

Mulai 1 Julai – Syarikat Bumiputera Termasuk Yang Tidak Pernah Terlibat Automotif, Boleh Mohon AP Terbuka

Untuk memastikan lebih ramai usahawan bumiputera negara meraih manfaat ekonomi semasa, dasar AP terbuka (pemegang permit diluluskan) kini diperluaskan kepada syarikat bumiputera negara yang tidak pernah terlibat dalam segmen automotif untuk ceburi aktiviti pengimportan dan penjualan kenderaan di Malaysia. Aturan itu dimaklumkan akan dilaksana bermula 1 Julai 2024 ini.

Perkongsian Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini dilihat selaras dengan agenda negara untuk mencapai 30% pemilikan ekuti Bumiputera dalam ekonomi tempatan di bawah Dasar Ekonomi Baharu.

Menerusi pelaksanaan ini, ia dijangka akan menarik lebih banyak syarikat bumiputera berkecimpung dalam industri automotif. Adanya pertambahan bilangan syarikat ia akan menjadikan segmen automotif lebih berdaya saing di pasaran negara.

Buat pengetahuan umum, Dasar AP Terbuka ini telahpun dilaksanakan sejak 1970 di mana pelbagai syarikat bumiputera meraih pelbagai manfaat. Ia tidak hanya tertumpu kepada segmen mengimport dan menjual kenderaan tetapi turut pada aktiviti utama yang lain dalam rantaian perkhidmatan selepas jualan, insurans dan logistik.

Ini antara kriteria utama yang digariskan MITI:

  • Berstatus Sendirian Berhad
  • Pemilikan 100% Bumiputera
  • Memiliki modal berbayar minimum RM1 Juta
  • Sedang beroperasi sekurangnya 2 tahun

Bagi tindakan lanjut, semua pihak berkaitan boleh layari portal MITI untuk rujukan kelayakan dan aturan permohonan seterusnya.