Malaysia kini menjadi antara negara baharu yang menzahirkan minat untuk sertai organisasi antara kerajaan, BRICS – yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Tindakan itu menurut laporan Guancha bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah didasari beberapa aspek, namun ketika ini pihak negara masih menanti keputusan maklum-balas Afrika Selatan akan perancangan tersebut. Sekiranya telah meraih kesepakatan bersama, maka langkah rasmi akan dilaksanakan pentadbiran negara tidak lama lagi.
Namun selain negara, Thailand juga dilaporkan turut bersedia ke arah penyertaan tersebut. Jadi ada apa dengan BRICS? Apa kepentingannya buat Malaysia dan Thailand? Mari Rnggt jelaskan.
Apa Itu BRICS?
Bagi memastikan kestabilan ekonomi dan kuasa politik sesebuah negara terus diperlihara tanpa dicabar akan krisis, sentimen melibatkan negara maju di Amerika Utara dan Eropah Barat – maka beberapa negara membangun telah bersepakat membentuk kumpulan yang dikenali sebagai BRIC. Di mana agenda ini tidak sekadar mengukuhkan kedudukan dan prestasi ekonomi bahkan turut ingin mengekang dominasi mata wang yang dikelola dolar Amerika Syarikat (AS) pada pasaran global.
Rentetan itu pada 2006, satu pakatan tidak formal yang dikenali BRIC telah dibentuk dan dinamakan mewakili akronim negara yang terlibat iaitu Brazil, Rusia, India dan China. Setelah itu, pada 2010 Afrika Selatan pula telah dijemput untuk menyertai BRIC menjadikan organisasi tersebut kepada BRICS.
Buat pengetahuan umum kesepakatan 5 negara ini yang juga merupakan ahli G70, telah memperlihatkan pegangan 27% kuasa membeli dalam KDNK global. Melalui penguasaan tersebut anggota negara BRICS turut miliki kelebihan dalam aspek demografi, sumber bahan mentah dan kapasiti tenaga kerja.
Selain 5 negara tersebut, beberapa negara lain turut menyertai organisasi tersebut antara yang terbaru pada 1 Januari 2024 ianya Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu. Secara menyeluruh kesepakatan BRICS turut menguasai 42% populasi daripada jumlah penduduk dunia.
Melihat pada perluasan ini, terdapat potensi untuk BRICS merealisasikan matlamat mereka mendominasi ekonomi dunia menjelang tahun 2050 kelak dan berupaya menyumbang lebih 50% daripada KDNK global menjelang 2030.
Malaysia, Thailand – Jadi Antara Negara Asia Tenggara Terbaharu Sertai BRICS
Menerusi rancangan Malaysia dan Thailand itu, sekiranya ia diluluskan maka ini akan menjadikan kedua negara sebagai negara Asia Tenggara terbaharu menyertai pakatan BRICS di peringkat global.
Jika adanya penambahan kedua negara Asia Tenggara ini ia sekaligus turut akan meningkatkan lagi penguasaan populasi penduduk anggota daripada jumlah penduduk dunia dan lonjakan peratusan kuasa beli di pasaran dunia. Setakat ini sahaja Malaysia dianggar mencapai 34 juta penduduk, sementara Thailand pula dianggar mencapai 71.8 juta penduduk.
Akan tetapi jumlah ini masih kelihatan kecil berikutan terdapat 34 buah negara lain turut dimaklumkan laksana tindakan yang sama iaitu memohon menyertai pakatan BRICS, sejak Februari 2024 lalu.
Berdasarkan potensi BRICS ini, Rnggt akui kekuatan pasaran melibatkan lebih 3.5 bilion penduduk negara anggota ini berupaya membantu melonjakkan ekonomi negara secara berkala. Ini tidak sekadar hubungan perdagangan bahkan aliran kemasukan pelaburan turut meningkat. Namun Malaysia perlu terus mengukuhkan peranan negara dalam struktur ekonomi selaku negara pengeksport sekiranya ingin memberi pulangan yang baik bersama negara anggota BRICS.
Tidak hanya itu keperluan lebih banyak kerjasama dengan pelbagai negara turut dituntut bagi memastikan Malaysia terus miliki keupayaan memajukan ekonomi, disamping memberi manfaat kepada negara anggota BRICS dalam mendepani cabaran ekonomi global kelak.