Artikel

DOSM: Jawatan Kosong Diiklan Secara Atas Talian Melonjak, Naik 32.5%

Penawaran pekerjaan di pasaran negara diperhatikan semakin membrangsang, apabila meningkat 32.5% dengan sejumlah 448,181 jawatan kosong diiklankan secara atas talian bagi suku keempat pada 2023.

Jabatan Perangkaan (DOSM) memperincikan peningkatan itu didorong berikutan lebih ramai majikan mula meluaskan kapasiti jumlah tenaga kerja mereka. Pada tempoh tersebut, didapati sebanyak 85,814 firma melaksanakan penawaran kekosongan itu berbanding 77,499 firma melaksanakan langkah tersebut pada suku sebelumnya.

Berdasarkan jumlah jawatan kosong itu, antaranya tersedia untuk sektor Perkhidmatan bersama 228,148 kekosongan (50.8%) – melibatkan peruncitan, pentadbiran, khidmat sokongan serta bahagian saintifik dan teknikal.

Sementara mengikut taburan negeri pula, KL mencatatkan jumlah kekosongan tertinggi sekitar 81,574 jawatan, diikuti Selangor 43,673 jawatan dan Johor sebanyak 19,822 jawatan. Manakala Perlis pula merekodkan kekosongan jawatan terendah dengan 79 jawatan sahaja.