Ternyata penduduk negara lebih berdepan tekanan kewangan, berbanding dengan penduduk Singapura, Indonesia dan Thailand pada pasaran semasa. Ini diakui 32% rakyat negara berhubung krisis kos sara hidup ketika ini pada tinjauan Ipsos.
Pada tinjauan tersebut, didapati 22% penduduk Indonesia memiliki tekanan kewangan yang sama, diikuti Singapura (20%) dan Thailand (22%).
Manakala dari aspek pengurusan kewangan pula, turut menunjukkan penduduk negara (24%) lebih berdepan kesukaran berbanding Indonesia (22%), Singapura (18%) dan Thailand (22%).

Meskipun paras inflasi di negara lebih rendah namun tekanan kos perbelanjaan semasa kekal tinggi di samping pendapatan asas lebih rendah. Keadaan tersebut secara langsung kekal memberi tekanan kepada sebahagian penduduk negara.
Namun persekitaran ini mengikut Ipsos akan mulai menurun pada tahun 2025 – apabila 45% penduduk menjangkakan tekanan kos akan kembali normal berikutan pertumbuhan ekonomi kian memperlihatkan peningkatan. Untuk pengetahuan umum, ketika ini pertumbuhan negara telah mencapai 4.2% bagi 3 bulan pertama 2024 – lebih tinggi sejak pertumbuhan suku kedua 2023.

Malah kemasukan jaminan pelaburan melibatkan pusat data, perkongsian pengetahuan kecerdasan buatan (AI) dan dasar ekonomi dilihat berupaya mengukuhkan lagi prestasi negara secara berkala. Susulan itu, dijangka pada tempoh tersebut, lebih ramai rakyat negara akan meraih pengurusan kewangan yang stabil bersama kadar simpanan yang lebih baik.