Artikel

MAVCOM Akan Diserap Ke Dalam CAAM, RUU Gabungan Dibentang Jun Ini – MOT

Tidak lama lagi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) akan dibubar dan peranannya diserap ke dalam Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM). Penyatuan dua agensi ini menurut Kementerian Pengangkutan (MOT) akan dilaksana berikutan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) MAVCOM (Pembubaran) 2024 dan RUU CAAM (Pindaan) akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat, Jun ini.

Rombakan ini secara jelas akan memperlihatkan satu tampuk badan dibentuk untuk mengawalselia industri penerbangan Malaysia dan tiada lagi keperluan berhubung perolehan kelulusan berasingan daripada dua agensi berbeza.

Pembaharuan itu juga turut berupaya mengurangkan tahap birokrasi, meningkatkan kecekapan perkhidmatan bersama semua pihak dan memberi penjimatan pada aspek sumber manusia dan kewangan operasi.

Bagaimanapun, langkah itu tidak akan melibatkan sebarang pemberhentian pekerja MAVCOM. Difahamkan kakitangan yang terlibat akan diserap ke CAAM, dan melalui penjawatan baharu yang akan dimaklumkan kelak.

Untuk makluman umum sidang Mesyuarat Kedua Dewan Rakyat di Parlimen akan mula dilaksanakan pada 24 Jun sehingga 18 Julai 2024 ini.