Artikel

KWSP: Jumlah Caruman Diterima Melonjak, Capai RM29.13 Bilion Bagi 3 Bulan Pertama 2024

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memaklumkan jumlah caruman yang diterima operasi telah melonjak kepada RM29.13 bilion bagi prestasi 3 bulan pertama tahun ini. Angka tersebut didorong hasil pertambahan jumlah pencarum bersama majikan di pasaran negara.

Pada tempoh tersebut, KWSP memaparkan pertambahan 107,105 pencarum baharu, diikuti majikan baharu pula seramai 20,080 individu. Perolehan itu secara langsung menjadikan jumlah keahlian KWSP kini meningkat kepada 16.1 juta individu. Di mana 8.6 juta daripadanya adalah pencarum aktif.

Meskipun alami pertambahan, KWSP akui masih ramai pekerja negara yang tidak memiliki perlindungan pencen pada ketika ini. Menurut pihaknya pada sesi bengkel Simposium Sasana 2024, keadaan ini membimbangkan susulan status Malaysia ke arah masyarakat menua dalam beberapa tahun mendatang. Buat pengetahuan umum, setakat Mei 2024 lalu terdapat 3.04 juta pekerja telah memilih untuk bekerja sendiri di pasaran negara. Ini meliputi sektor informal dan gig ekonomi.

Berikutan dapatan ini, KWSP akan terus meluaskan lagi liputan i-Saraaan bagi membolehkan pekerja berkaitan khususnya kumpulan yang tidak miliki pendapatan tetap untuk meraih manfaat persaraan bersama operasi.

Untuk tempoh tiga bulan ini, i-Saraan telah merekodkan pendaftaran baharu sebanyak 146,171 pencarum menjadikan kini terdapat 1.4 juta ahli tersedia pada i-Saraan.