Perluasan literasi kewangan seharusnya tidak tertumpu kepada kumpulan dewasa mahupun pekerja semata. Aspek itu menurut Bank Negara (BNM) sewajarnya diperluas kepada pelbagai peringkat termasuklah ke atas golongan muda – ia wajar dimulakan diperingkat awal persekolahan. Tahukah anda, 76% pelajar sekolah menengah memahami aturan kewangan menerusi pemerhatian mereka terhadap tabiat ibubapa berbelanja dan menyimpan?
Perkongsian bahagian Kewangan Inklusi BNM pada sesi bengkel Simposium Sasana 2024 hari ini, menjelaskan peratusan itu hasil dapatan mereka bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun lalu. Tidak hanya cara berbelanja, bahkan sehingga 46% pelajar turut memerhati aturan pelaburan ibubapa mereka.
Maka untuk itu adalah wajar untuk perluasan pendidikan kewangan diterapkan pada pengetahuan anak-anak di peringkat sekolah lagi. Berdasarkan perkongsian sidang, BNM kini dalam usaha untuk melaksanakan kemahiran pendidikan kewangan bersama kalangan guru, dijangka aturan itu akan dijalankan pada tahun ini.
Selain usaha itu, BNM telahpun menerapkan pendidikan kewangan menerusi kokurikulum sekolah pada sebahagian subjek pembelajaran. Antaranya English, Bahasa Melayu, Matematik, Ekonomi, Moral, Perniagaan dan Perakauan. Malah, aturan yang sama turut telah dilaksana pada peringkat universiti dan kolej – dengan membolehkan literasi kewangan diambil sebagai subjek elektif kepada para pelajar.
Pada tindakan lanjut, BNM turut merancang menyediakan modul tahap kesejahteraan literasi kewangan ke atas pekerja muda negara. Perancangan itu dimaklumkan bertujuan untuk kumpulan ini memahami akan status kewangan mereka sebelum menambah komitmen di masa hadapan.
Menerusi langkah ini, ia sekaligus dapat memupuk pemahaman kewangan asas yang lebih kukuh dalam kalangan golongan muda negara di masa hadapan.