Artikel

KWSP Catat Aset Pelaburan RM1.19 Trilion – 38% Disumbang Pelaburan Luar Negara

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini memperlihatkan peningkatan prestasi pada perolehan pendapatan boleh agih, dengan meraih RM19.2 bilion untuk tiga bulan pertama 2024. Angka itu untuk makluman melonjak 33.1% berbanding pendapatan boleh agih pada tempoh yang sama pada 2023 iaitu RM14.42 bilion.

Prestasi ini didorong hasil pertumbuhan global yang terus berdaya tahan – antaranya indeks FBM KLCI meningkat 10% mencerminkan berlakunya lonjakan keyakinan dalam pertumbuhan. Diikuti penerapan dasar baharu dalam sektor ekonomi dan industri turut memberi kesan pada prestasi negara.

Selain itu, perkembangan ekonomi AS turut membantu prestasi dengan penurunan kadar faedah dijangka terus berlaku pada tahun ini. Langkah itu akan membawa kepada pengukuhan indeks saham utama yang lebih stabil. Ini antaranya membawa lonjakan saham berkaitan kewangan, penjagaan kesihatan dan teknologi.

Sementara itu, aset pelaburan KWSP secara menyeluruh juga memperlihatkan peningkatan kepada RM1.19 trilion setakat Mac 2024. Di mana pelaburan luar negara KWSP telah menyumbang 38% daripada keseluruhan jumlah aset.

Untuk makluman, pelaburan luar negara KWSP sebahagian besarnya adalah melibatkan ekuiti dengan menjana pendapatan sebanyak RM9.88 bilion mewakili 51% daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Meskipun prestasi tersebut kukuh, namun KWSP kekal akui terdapatnya risiko pada pasaran kewangan semasa. Ini meliputi penetapan kadar faedah yang tinggi bagi tempoh yang lebih lama, disusuli risiko geopolitik dan konflik semasa serta perubahan dasar disebabkan berlakunya pertukaran pimpinan pada beberapa ekonomi besar di pasaran negara.