Pada hari ini dalam tahun 1967, Malaysia secara rasminya mengumumkan penggunaan nilai Ringgit sebagai nilai tukaran antarabangsa utama bagi menggantikan Dollar Malaya dan British Borneo.
Edaran wang ini untuk makluman pada ketika itu tidak membawa perubahan nilai mata wang, di mana nilai kekal sama bersamaan dengan $1 dollar Malaya. Perubahan hanya melibatkan grafik mata wang sahaja. Menurut Arkib Negara, nilai ringgit ketika itu teguh berikutan kekuatan ekonomi negara dan disokong nilai simpanan pertukaran wang luar yang besar.
Detik bersejarah pertukaran mata wang ini berlaku apabila memperlihatkan wang tunai ringgit tiba di Malaysia melalui Port Swettenham, Klang dari London dengan langkah kawalan keselamatan yang rapi. Ia kemudiannya disimpan di Pejabat Matawang, Bank Negara Malaysia (BNM), yang ketika itu bertempat di Batu Tiga-Shah Alam.
Buat pengetahuan umum, pengenalan pertama ringgit memaparkan potret Almarhum Tuanku Abdul Rahman Ibni Almarhum Tuanku Muhammad, YDP Agong pertama Malaysia di ruangan wang kertas bernilai $1, $10, $20, $50 dan $100.
Sementara potret bangunan Parlimen, bulan dan bintang berbucu 13 pula dipaparkan pada wang syiling bernilai 1 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Berdasarkan pengenalan nilai mata wang baharu ini, mari kita ketahui tentang evolusi rekaan mata wang ringgit di Malaysia.
Wang Kertas Ringgit Siri Pertama Diperkenalkan – Guna Ejaan Baharu Bahasa Malaysia
Bagi edisi pertama wang kertas Malaysia ini, reka bentuk asas wang kertas ditetapkan adalah sama bagi semua nilai. Di mana muka hadapan setiap wang kertas memaparkan potret DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong yang pertama, berserta perkataan Bank Negara Malaysia.
Malah peletakan perkataan ‘sah diperlakukan’, nilai mukanya dan tandatangan Tun Ismail bin Mohamed Ali, iaitu anak Malaysia yang pertama menjadi Gabenor Bank Negara Malaysia juga terdapat pada bahagian hadapan wang kertas tersebut. diikuti bahagian belakang pula mengandungi logo Bank Negara Malaysia dan latar belakangnya dihiasi reka bentuk geometri.
Apa yang menarik, rekaan bercirikan keselamatan turut diterjemahkan menerusi peletakan tera air kepala harimau yang terletak di sebelah kiri dan benang keselamatan pula di sebelah kanan pada wang kertas negara.
Selain pengenalan wang kertas bernilai $1, $20, #15 dan $100 – BNM turut mengeluarkan not wang kertas bernilai $1000 pada 2 September 1968 buat kemudahan pengeluaran besar pengguna.
Tidak hanya itu, susulan berlakunya sistem ejaan baharu Bahasa Malaysia pada 16 Ogos 1972 – maka BNM menggunakan sistem ejaan baharu pada pencetakan wang kertas baharu dan kekal menggunakan rekaan siri pertama. Ini antara perubahan ejaan yang berlaku pada wang kertas negara;
Sementara rekaan syiling Malaysia pula memperlihatkan pengeluaran 5 jenis nilai iaitu 1 sen, 5 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen – yang ditetapkan rekaan yang sama iaitu gambar bangunan Parlimen yang membawa erti kepercayaan rakyat Malaysia ke atas sistem demokrasi. Diikuti gambar bulan sabit melambangkan Islam selaku agama rasmi negara dan gambar bintang berbucu 13 pula mendefinisikan terdapatnya 13 buah negeri di Malaysia.
Pada bahagian belakang duit syiling pula memaparkan corak bunga kebangsaan iaitu Bunga Raya dan perkatan Malaysia bersama tahun pengeluaran duit syiling tersebut turut ditempa pada permukaan syiling.
Siri Kedua Sedia Ciri Sekuriti, Papar Rekaan Wang Kertas Berbeza Mengikut Nilai Not
Selanjutnya pada 1 September 1982 – BNM memaklumkan pengenalan dua jenis nilai wang kertas dilaksanakan negara iaitu $20 dan $500. Pada penambahan jumlah nilai wang kertas itu, penerbitan rekaan wang kertas baharu turut dilaksanakan dengan memaparkan rekaan sisi kebudayaan Malaysia. Ciri rekaan itu merangkumi asas perhiasan, ukiran kayu, hasil kerja tangan dan rekaan tumbuh-tumbuhan yang terdapat di beberapa lokasi di Malaysia.
Setelah melaksanakan aturan itu, pada Januari 1986 BNM mula mengeluarkan reka bentuk baharu bersama ciri keselamatan tambahan pada wang kertas negara.Untuk makluman setiap nilai wang kertas ditetapkan memiliki reka bentuk tersendiri, disusuli ciri keselamatan bagi memastikan wang kertas negara sukar untuk dipalsukan.
Untuk rekaan duit syiling siri kedua pula – ia diperkenalkan pada 4 September 1989, di mana rekaan kali ini lebih menekankan elemen teknikal dari aspek saiznya, material campuran tembaga-zink-timah dan penempaan reka berlandaskan artifak bercorak budaya di Malaysia. Ini antara perinciannya;
Siri Ketiga Menambah Nilai Not RM2, Serta Jalur Holografi Pada Sebahagian Wang Kertas Negara
Setelah beberapa ketika melaksanakan perubahan pada rekaan wang kertas negara – pada 5 Februari 1996, BNM mula menambah nilai not wang kertas RM2 pada edaran pasaran. Langkah itu turut membawa kepada pengenalan siri reka bentuk baharu mata wang Malaysia yang bertemakan Wawasan 2020.
Di mana rekaan wang kertas didasari berlandaskan perkembangan dan kepesatan ekonomi semasa Malaysia. Ini juga merangkumi elemen songket, wau bulan, enggang badak, kenyalang, rafflesia Azlanii, penyu karah, penyu belimbing, kelapa sawit, gunugn kinabalu. Siri rekaan ini untuk makluman dikeluarkan pada tempoh berbeza iaitu;
Lebih menarik, pada rekaan siri ketiga ini BNM mengutamakan tumpuan pada ciri keselamatan ke atas wang kertas negara. Antaranya menampilkan ciri antisalinan pendua yang dikenali sebagai PEAK (Printed & Embossed Anticopy Key) – yang menyertakan benang serat dan nombor siri novel yang dicetak secara melintang di atas sebelah kiri dakwat magnetik pendarfluor hitam dan secara menegak di sbelah kanan dalam dakwat pendarfluor merah.
Manakala nilai wang kertas RM10, RM50 dan RM100 pula memiliki ciri tambahan iaitu jalur holohrafi ubahan optik yang dikenali sebagai LEAD (Long-lasting Economical Anticopy Device).