Memanfaatkan kemasukan pelaburan firma teknologi global ke pasaran tempatan – EcoWorld Malaysia kini bercadang melupuskan tanah perindustrian mereka di Kulai, Johor kepada Microsoft Payments (Malaysia) pada nilai RM402.3 juta.
Pelupusan tanah industri seluas 49.83 hektar ini dijangka akan memberi faedah kepada segmen ekonomi negara antaranya penubuhan pusat data serta kelangsungan permintaan produk industri teknologi.
Menerusi dana pelupusan tersebut, berdasarkan makluman kepada Bursa – sebahagiannya akan diguna untuk pembayaran balik pinjaman bank bagi tanah tersebut. Sementara bakinya akan dijadikan modal kerja untuk EcoWorld Malaysia.
Malah dengan aturan tersebut, EcoWorld Malaysia menjangkakan rizab tunai kumpulan akan lebih meningkat untuk meraih akses penempatan tanah baharu.
Secara menyeluruh, kesepakatan ini dijangka akan mencapai penyelesaian menjelang separuh kedua 2025 kelak.