Biarpun kadar pengangguran di negara kekal di paras 3.3% dengan jumlah semakin menurun kepada 566,400 penganggur setakat Mei 2024 lalu – namun tindakan pemberhentian kerja diperhatikan semakin meningkat.
Mengikut pemerhatian Maybank Investment Bank (IB) pada tuntutan menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dari PERKESO – kadar individu berhenti kerja kini dilihat semakin meningkat. Setakat Mei 2024 sahaja, seramai 4,894 individu direkodkan, angka itu memaparkan berlakunya peningkatan 38.2% berbanding data tahunan untuk tempoh yang sama pada 2023.
Tidak hanya rekod Mei, secara bulanan turut meningkat apabila bulan April turut menunjukkan kenaikan 25.9% dengan jumlah 3,886 individu diberhentikan pekerjaan di pasaran.
Selain aturan itu, langkah pekerja memilih untuk bekerja sendiri juga semakin melonjak. Apabila setakat Mei 2024 ini seramai 3.04 juta individu kini berstatus bekerja sendiri. Kumpulan ini meliputi pengusaha perniagaan kecil seperti peruncit, penjual, pekebun kecil serta pekerja gig.
Angka ini untuk makluman telah mulai meningkat sejak Januari 2021, pada ketika dengan jumlah 2.39 juta individu.
Meskipun berdepan dinamik sedemikian, sektor ekonomi Malaysia dijangka terus ke arah pemulihan. Ini berikutan disokong corak perbelanjaan yang lebih agresif, di samping sektor ekonomi seperti pelancongan dan perkhidmatan disasar akan meningkatkan pertumbuhan negara secara berkala.
Buat pengetahuan umum, tuntutan EIS boleh dilaksanakan sekiranya kumpulan pekerja berkaitan berdepan situasi di bawah:
- Diberhentikan kerja (retrenchment) dan redundancy
- VSS/MSS (Voluntary/Mutual Separation Scheme)
- Penutupan syarikat disebabkan oleh bencana alam.
- Syarikat gulung tikar
- Pembuangan kerja secara konstruktif
- Perletakan jawatan atas sebab gangguan seksual atau ugutan di tempat kerja
- Perletakan jawatan atas sebab diarahkan untuk melaksanakan tugasan berbahaya yang tidak termasuk dalam skop tugasan