Artikel

Subsidi Bersasar RON95 Berpotensi Dilaksana Pada Suku-4 Tahun Ini – Tinjauan 

Seiring dengan matlamat negara untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi RM11.5 bilion pada Belanjawan 2024- dijangka sasaran itu boleh direalisasikan dengan melaksanakan subsidi petrol bersasar RON95, seawal suku keempat 2024 ini iaitu mulai Oktober 2024.

Mengikut tinjauan beberapa penganalisis antaranya Maybank Investment Bank (IB) – jika langkah itu dilaksanakan pada Oktober 2024, terdapat potensi harga petrol RON95 perlu dinaikkan sebanyak 65 sen seliter (31.7%) di pasaran bagi membolehkan negara meraih jumlah penjimatan subsidi seperti yang disasarkan.

Namun sekiranya ingin mengurangkan tekanan harga tersebut, RON95 boleh dinaikkan sekitar 32 sen seliter seawal Julai 2024 ini untuk mencapai penjimatan tersebut.

Mengakui aturan itu, penganalisis penyelidikan pasaran CIMB dan UOB turut menjangkakan langkah rasionalisasi subsidi RON95 di Malaysia hanya berlaku sekitar suku keempat kelak. Ini kerana berpotensi kerajaan akan mengambilkira paras inflasi terbaharu – yang akan diumumkan pada 11 Julai kelak sebelum bertindak memuktamadkan pelaksanaan tersebut ke atas pengguna Malaysia.

Buat pengetahumum, jika berlakunya pelarasan harga runcit RON95 – ia bermakna akan memberi kesan sekitar 5.5% ke atas penetapan harga indeks pengguna di Malaysia. Malah sekiranya inflasi meningkat, ini akan menjejaskan sebahagian besar tekanan kos ke atas 36.6 juta kenderaan bermotor yang berdaftar di negara.

Seperti yang umum ketahui, setakat ini penetapan harga RON95 bersubsidi adalah RM2.05 seliter di pasaran dengan sekitar 32% golongan T20 menikmatinya. Tahukah anda, dengan peratusan manfaat bernilai RM8 bilion tersebut, Malaysia berupaya membina sekitar 160 buah sekolah dengan 30 bilik darjah bagi setiap sekolah atau 16 buah hospital berkapasiti 300 katil bagi setiap hospital ?