Artikel

Pas DE Rantau Nomad Kini Diperluas Kepada Pekerja Profesional Bukan Digital

Selain bidang teknologi maklumat mahupun digital, pas DE Rantau Nomad iaitu pas yang membolehkan kemasukan bakat dari negara luar berkhidmat di Malaysia – kini dimaklumkan diperluas, dibuka buat bakat profesional selain daripada bidang tersebut.

Makluman Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) ini memperincikan antara yang layak memohon pas tersebut meliputi pengasas, ketua pegawai eksekutif (CEO), ketua pegawai operasi (COO), penasihat perundangan, akauntan cukai, penulis teknikal, pengurus pembangunan perniagaan, perhubungan awam serta pekerja jarak jauh.

Kriteria ini bagaimanapun menuntut bakat profesional yang terlibat untuk memiliki pendapatan minimum $60,000 setahun (RM282,8930) ataupun $5,000 sebulan (RM23,577).

Secara menyeluruh, setakat ini program telah menerima sejumlah 3,096 permohonan – di mana 1,443 telah diluluskan pada akhir Mei lalu. Lebih menarik, pas tersebut telah memperlihatkan sebanyak 78 buah negara memohon dengan 5 negara merekodkan permohonan tertinggi iaitu Rusia, Pakistan, Britain, Jepun dan Australia.

Buat pengetahuan umum, pas nomad ini tersedia bagi tempoh 12 bulan, sementara pas nomad digital pula boleh diperbaharui sekiranya ingin terus melanjutkan tempoh maustatin di Malaysia. Difahamkan sejumlah 189 pas telah diperbaharui setakai Mei lalu.