Menyedari negara berdepan ketirisan RM4.5 juta sehari – Kementerian Kewangan (MOF) hari ini mengumumkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi bersasar akan dilaksanakan mulai jam 12 tengah malam pada 10 Jun 2024 – di mana harga diesel di semua stesen Semenanjung akan dilaraskan pada kadar RM3.35 seliter.
Sementara harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal RM2.15 seliter.
Menerusi pengumuman ini, ia bermakna penggunaan diesel bersubsidi tidak lagi tersedia buat T20 dan warga asing.
Adanya pelaksanaan ini, ia menjadi antara langkah pembaharuan utama pentadbiran negara untuk menyeimbangkan semula pengurusan kewangan yang lebih baik tanpa berlakunya aktiviti penyelewengan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Usaha itu sekaligus menjamin pengagihan subsidi yang lebih saksama.
Berdasarkan aturan itu, pelaksanaan subsidi bersasar ini akan dijalankan di Semenanjung untuk peringkat awal sebelum diperluas ke Sabah dan Sarawak. Tidak hanya itu, untuk mengelakkan berlakunya tekanan kos ke atas kumpulan rakyat bersasar – pelbagai usaha dan bantuan tunai disediakan untuk rakyat antaranya Budi Individu, Budi Agro-komoditi dan Mysubsidi Diesel.
- Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0 yang menggunakan kaedah fleet card bagi kenderaan logistik berkelayakan untuk membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter
- Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 bagi kenderaan-kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter
- Diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada harga RM1.65 seliter
Langkah itu membantu kumpulan individu, pekebun, petani kecil dan peniaga meraih manfaat diesel pada kadar yang lebih berpatutan.