Artikel

Nvidia Kini Bernilai $3 Trilion – Atasi Apple, Jadi Syarikat Kedua Paling Berharga Di Dunia

Nvidia, kini menjadi syarikat kedua paling bernilai di dunia apabila berjaya mencatatkan nilai pasaran $3.011 trilion – sekaligus mengatasi Apple, dan mengikuti jejak Microsoft selaku syarikat paling bernilai.

Kedudukan ini berdasarkan pemerhatian didorong hasil peningkatan permintaan dan pelaburan yang kian meluas pada arena kecerdasan buatan (AI). Selaku pembangun cip global, dinamik ini menjadi kelebihan buat Nvidia pada carta syarikat dunia.

Sementara Microsoft pula dilihat terus kukuh pada kedudukan pertama, apabila memperlihatkan nilai sahamnya meningkat 1.9% dengan nilai syarikat mencecah $3.15 trilion.

Selain AI, penghasilan produk Nvidia kini turut meluas pada industri permainan dan kriptowang. Melihat pada perkembangan AI dalam pelbagai arena, dijangka nilai entiti tersebut berpotensi melonjak secara berkala kelak berikutan setakat ini sahaja saham Nvidia telah meningkat 147% dan menerusi momentum itu ia berupaya mengatasi Microsoft di masa hadapan.