Artikel

Boost Bank, Bank Digital Diterajui Boost & RHB – Kini Secara Rasmi Tersedia Buat Pengguna

Setelah beberapa ketika melaksanakan promosi pelancaran, Boost Bank – bank digital yang diterajui Boost dan RHB kini secara rasmi dibuka buat semua pengguna Malaysia. Menjadikan ia bank digital ketiga selepas GXBank dan Aeon Bank.

Pada acara pelancaran yang dirasmikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim diiringi Gobind Singh Menteri Kementerian Digital hari ini, Boost membolehkan semua pengguna untuk mendaftar akaun bank bersama mereka. Selain menyertakan ciri simpanan, Boost Bank turut memperlihatkan tabung ‘Jar’ pada aplikasi. 

Di mana menerusi simpanan khusus tersebut, pengguna berupaya meraih 0.5% p.a. untuk simpanan bawah RM2,000 – sementara simpanan lebih RM2,000 akan meraih pulangan 2.5% p.a.. 

Selain manfaat sedemikian, ciri Saving Jar turut tersedia buat pengguna yang ingin meraih pulangan yang lebih besar pada aplikasi. Namun pengguna harus ketahui, bank digital Boost Bank adalah di bawah kategori konvensional. Ia bermakna tiada pematuhan syariah.

Ini berikutan bank digital Boost Bank dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK). Yang memperlihatkan Boost memiliki kepentingan 60%, diikuti RHB sebanyak 40% pada infrastruktur Boost Bank. 

Melihat pada penyertaan bank digital ini ia secara langsung akan terus memacu pertumbuhan Boost bersama 11 juta penggunanya. Terutamanya kumpulan pengguna yang sering dinafi manfaat perbankan serta peniaga kecil. Secara menyeluruh sehingga kini sejumlah RM4 bilion telah dicapai Boost pada sokongan pembiayaan bersama PKS negara.