Memahami reaksi pengguna berhubung pelarasan kadar tarif air domestik baharu bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kini memutuskan pemberian rebat kepada penduduk negeri Pulau Pinang. Antaranya perolehan air percuma sebanyak 10,000 liter air pertama bagi setiap bil.
Pelaksanaan ini berkuat kuasa selama 6 bulan, bermula Julai 2024 sehingga 31 Disember kelak.
Tidak hanya itu, kerajaan negeri turut memaklumkan akan meluaskan skim Rebat Mesra Keluarga RM20 bagi isi rumah yang besar – melibatkan jumlah 8 orang ke atas. Di mana sebelum ini insentif tersebut hanya terhad kepada pendapatan isi rumah RM2,250 sahaja, kini ia diperluaskan kepada pendapatan isi rumah besar bermula RM5,000 ke bawah.
Menerusi perolehan rebat sedemikian, semua pengguna air domestik Pulau Pinang akan menikmati rebat sebanyak RM6.20 bagi setiap bil.
Maka dengan kemudahan itu, Pulau Pinang bersama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) optimis usaha tersebut berupaya mengurangkan bebanan rakyat negeri berhubung komitmen bekalan air dalam tempoh 6 bulan.