Artikel

Insentif Cukai Malaysia Digital MDEC Kini Dibuka, Buat Syarikat Digital

Permohonan bagi skim insentif cukai Malaysia Digital (MD) di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) kini dibuka ke atas syarikat digital yang berkelayakan menerusi cabang aktiviti teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, rantaian blok serta kesalinghubung rangkaian. 

Buat pengetahuan umum, syarikat berstatus Malaysia Digital (MD) perlulah memenuhi kriteria diperbadankan di bawah Akta Syarikat 106, bermaustatin di negara dan menjalankan satu atau lebih aktiviti Malaysia Digital.

Menerusi status sedemikian, syarikat digital berkaitan berupaya mendapat manfaat antaranya pengurangan kadar cukai pendapatan ke atas pendapatan harta intelek (IP) dan bukan IP, diikuti elaun cukai pelaburan (ITA) bagi aktiviti perkhidmatan berintensif modal. 

Sebagai perincian, agihan insentif itu dilaksanakan pada dua kategori, merangkumi pelaburan baharu dan lanjutan insentif. Bagi kategori pelaburan baharu, syarikat digital berpotensi nikmati kadar cukai yang lebih rendah ke atas pendapatan IP dan 5% hingga 10% ke atas pendapatan bukan IP dalam tempoh 10 tahun.

Sementara insentif pada kategori lanjutan insentif pula, syarikat digital berupaya nikmati pengurangan 15% kadar cukai istimewa (RTR) selama 5 tahun. Namun sebagai alternatif, syarikat di bawah kedua kategori tersebut boleh memilih elaun cukai pelaburan (ITA) 30% sehingga 100% daripada perbelanjaan modal yang layak yang boleh ditolak sehingga 100% daripada pendapatan berkanun mereka sehingga 5 tahun. 

Menerusi insentif sedemikian, MDEC optimis ia mengukuhkan kedudukan Malaysia selaku hab digital ASEAN selari dengan keperluan ekonomi semasa dan amalan pasaran global. Setakat akhir April sahaja, terdapat lebih 5,000 syarikat digital telah meraih status MD – merealisasikan matlamat negara mewujudkan ekosistem digital yang konsdusif di pasaran serantau.