Artikel

Ekonomi Perak Bantu Penduduk Malaysia, Menua Dengan Sihat & Aktif – PM Anwar

Negara kini seharusnya memberi tumpuan kepada pelaburan dalam Ekonomi Perak (Silver Economy) melibatkan semua aktiviti ekonomi serta perkhidmatan – yang berupaya membantu memenuhi keperluan penduduk yang berusia lebih 50 tahun ke atas. Fokus tersebut secara langsung membantu penduduk Malaysia, bersedia ke arah negara tua menjelang 2043

Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ini antaranya turut menyentuh pembangunan infrastruktur ekonomi negara berlandaskan sokongan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik.

Langkah itu akan menyokong warganegara menua di Malaysia kekal aktif dan jalani kehidupan persaraan dengan lebih tenang.

Tidak sekadar membantu kemudahan warga emas, kemajuan dalam teknologi turut akan memajukan Malaysia dengan meningkatkan aspek produktiviti kalangan pekerja negara. Sokongan ini akan mendorong keupayaan pekerja negara untuk menyumbang kepada ekonomi dalam tempoh yang lebih lama.

Ekonomi Perak merujuk kepada semua aktiviti ekonomi, produk, perkhidmatan yang dibentuk dan direka bagi menyokong keperluan penduduk sesebuah negara khususnya yang berusia 50 tahun dan ke atas

Selain sokongan teknologi, Malaysia juga dalam usaha mengutamakan pelaburan ke atas sektor penting seperti penjagaan kesihatan, farmaseutikal dan infrastruktur yang lebih selesa buat warga emas di negara.

Difahamkan ketika ini antara syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang menyokong usaha tersebut adalah KWSP, Khazanah Nasional dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Menerusi kebersamaan itu, pentadbiran negara optimis merealisasikan infrastruktur yang lengkap pada pembangunan ekonomi perak di Malaysia secara berperingkat kelak.