Sepertimana yang umum ketahui, bermula Ogos 2024 ini Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah memaklumkan penggunaan e-Invois, rekod transaksi berbentuk digital – akan mula dilaksanakan secara berperingkat di Malaysia. Di mana untuk fasa pertama, tumpuan akan dimulakan ke atas kumpulan pembayar cukai dan perniagaan yang miliki pendapatan atau jualan tahunan lebih RM100 juta.
Jadi apa itu e-Invois? Apakah ia terpakai untuk semua pembayar cukai atau kumpulan tertentu sahaja? Mari Rnggt jelaskan.
Apa Itu e-Invois?
e-Invois adalah rekod transaksi secara digital yang dilaksanakan antara penjual dan pembeli – merangkumi transaksi Perniagaan-ke-Perniagaan (B2B), Perniagaan-ke-Pengguna (B2C) dan Perniagaan-ke-Kerajaan (B2G). Menerusi pengenalan e-Invois yang telah dizahirkan sejak 2022 ini, pembayar cukai tidak lagi perlu menyediakan dokumen kertas ataupun pembuktian dokumen dalam format PDF,JPEG, DOC dan lain-lain.
Ini kerana sistem ini akan merangkumkan maklumat penting antaranya dokumen tradisional, butiran penjual dan pembeli, penerangan barangan, kuantiti, harga tanpa cukai, cukai dan jumlah keseluruhan yang melibatkan rekod data transaksi untuk operasi perniagaan harian.
Tidak hanya itu data transaksi berkaitan pertukaran asing, rentas sempadan, agihan keuntungan seperti dividen dan transaksi e-dagang turut akan direkodkan.
Erti mudahnya, e-Invois adalah medium yang mendigitalkan pelaporan percukaian dan kewangan pembayar cukai di Malaysia.
Menerusi pelaksanaan tersebut, ia tidak sekadar mengukuhkan kecekapan dengan mengurangkan proses manual pada sistem percukaian negara bahkan ia turut membantu meningkatkan tahap pematuhan cukai dijalankan. Ini secara langsung menyokong ketelusan data cukai dan mengelakkan berlakunya ketirisan dalam hasil negara.
Berdasarkan perkongsian LHDN, terdapat dua pendekatan yang boleh dilaksanakan pembayar cukai untuk menghantar e-Invois kepada pihak LHDN. Pertama menerusi Portal MyInvois yang boleh diakses oleh semua pembayar cukai dan kedua pembayar cukai mengintegrasikan sistem perniagaan mereka dengan Sistem MyInvois melalui sambungan API (Application Programming Interface).
Siapa Yang Perlu Laksana e-Invois? Ada Pihak Berkecuali?
Pasti ramai yang terkeliru dengan menganggap sistem e-Invois ini hanya terpakai ke atas pembayar cukai dan perniagaan yang berpendapatan tinggi sahaja. Jawapannya tidak. Untuk makluman semua, sistem e-Invois ini terpakai ke atas semua pembayar cukai yang menjalankan aktiviti komersial di Malaysia. Bagaimanapun, pelaksanaannya akan dijalankan secara berperingkat.
Seperti yang Rnggt maklumkan, untuk fasa pertama e-Invois akan dilaksanakan ke atas kumpulan pembayar cukai dan perniagaan yang miliki pendapatan atau jualan tahunan lebihi RM100 juta bermula 1 Ogos 2024 kelak. Sementara mulai 1 Januari 2025 pula, langkah e-Invois akan diperluaskan ke atas pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan lebihi RM25 juta dan berikutnya pada 1 Julai 2025 ia akan diperluas kepada semua pembayar cukai di negara.
Di mana semua individu dan entiti yang sah di bawah perundangan dikehendaki memenuhi keperluan e-Invois tersebut, termasuklah:
- Persatuan
- Kumpulan Orang
- Cawangan
- Amanah Perniagaan
- Koperasi
- Syarikat
- Perkongsian liabiliti terhad
- Perkongsian
- Tabung amanah hartanah
- Amanah harta
- Amanah pelaburan hartanah
- Pejabat Perwakilan dan Pejabat Wilayah
- Badan Amanah
- Unit Amanah
Menerusi aturan secara berperingkat ini, ia akan memberi ruang kepada perniagaan untuk memahami sistem percukaian baharu tersebut dan menyesuaikan kedudukan mereka akan keperluan e-Invois.
Manakala ini pula kumpulan yang berkecuali pada pelaksanaan e-Invois, ianya terdiri daripada;
- Pemerintah dan Ketua Pemerintah
- Bekas Pemerintah dan Ketua Pemerintah
- Permaisuri Raja – yang turut digelar Raja Perempuan, Sultanah, Tengku Ampuan, Raja Permaisuri, Tengku Permaisuri atau Permaisuri
- Bekas Permaisuri Raja
- Kerajaan
- Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri
- Pihak Berkuasa Kerajaan
- Pihak Berkuasa Berkanun dan Badan Berkanun
- Kemudahan awam di bawah Kerajaan, Pihak Berkuasa
- Pejabat Konsular, Pegawai Diplomatik, Pegawai Konsular, Pekerja Konsular
- Individu Yang Tidak Menjalankan Perniagaan
Selain Rekod Transaksi Komersial – Pembetulan Kesilapan, Diskaun Turut Perlukan e-Invois
Buat pengetahuan semua, di bawah sistem e-Invois ini terdapat empat jenis e-Invois yang boleh dikeluarkan pembayar cukai. Ia melibatkan Invois, Nota Kredit, Nota Debit dan Nota Bayaran Balik.
Umum ketahui, invois merujuk kepada dokumen komersial yang merekodkan transaskis antara penjual dan pembeli. Ini termasuklah pengeluaran e-Invois bil kendiri untuk mendokumenkan perbelanjaan. Sementara Nota Kredit pula ia adalah rekod yang dikeluarkan Penjual untuk perbetulkan kesilapan transaksi, memberikan diskaun atau menyenaraikan pulangan dalam e-Invois yang telah dikeluarkan sebelum ini. Tujuan tersebut untuk mengurangkan nilai e-Invois asal.
Manakala Nota Debit pula dikeluarkan untuk memaparkan caj tambahan yang berlaku dalam e-Invois yang dikeluarkan sebelum ini, diikuti Nota Bayaran Balik pula ialah dokumen yang dikeluarkan oleh Penjual bagi mengesahkan berlakunya transaksi pemulangan bayaran yang telah dibuat oleh Pembeli.
Adanya keperluan empat e-Invois ini ia akan memastikan bukti perbelanjaan pembayar cukai lebih lengkap dan telus pada dokumen pembelian dan perbelanjaan mereka. Khususnya melibatkan data e-Invois sendiri pada sesi jual-beli antara penjual asing yang tidak menggunakan sistem MyInvois.
Maka melalui penjelasan ini, diharap semua pembayar cukai yang berkaitan akan lebih bersedia pada pelaksanaan e-Invois tidak lama lagi. Selain memberi penjimatan pada kos pematuhan dokumen cukai, sistem ini juga berupaya meningkatkan hasil negara di samping menangani ketirisan berjumlah RM70 bilion setahun, kesan ekonomi bayangan.
Ekonomi Bayangan atau turut dikenali sebagai ekonomi bawah tanah adalah kegiatan perniagaan yang tidak mematuhi perundangan negara. Ini bermakna ia boleh tergolongan dalam kalangan firma yang berdaftar namun tidak patuhi perundangan dan firma yang tidak berdaftar dengan laksana perniagaan aktiviti jenayah.