Hasil kebersamaan Jabatan Statistik (DOSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hari ini kedua pihak secara rasminya telah melancarkan Akaun Satelit Sukan, yang memperincikan data industri sukan di Malaysia.
Buat pengetahuan umum, platform ini merupakan suatu sistem perakaunan yang menyediakan maklumat terperinci berkaitan industri sukan di negara. Ia termasuklah paras sumbangan ekonomi dalam eksport, import serta permintan dan penawaran yang berlaku dalam perkhidmatan sukan dan barangan.
Menerusi data ini ia tidak sekadar meluaskan potensi ekonomi negara tetapi turut memberi petunjuk kepada industri sukan bagi kemajuan di masa hadapan kelak.

Berdasarkan pelancaran bersama Menteri KBS Hannah Yeoh hari ini, dimaklumkan terdapat 73 Kod Industri Standard Malaysia (MSIC) telah dikenalpasti untuk menilai pengukuran pada pembangunan akaun tersebut. Ini termasuklah industri sampingan sukan seperti pembuatan minuman ringan, kenderaan sorong makanan serta perkhidmatan lokasi dan pemain industri.
Secara menyeluruh, industri sukan telah menjana RM49.5 bilion dengan nilai ditambah kasar berjumlah RM19.6 bilion bagi tahun 2022. Ini menunjukkan berlakunya peningkatan pertumbuhan 12.1% berbanding 1.9% pada 2021. Pertumbuhan ini untuk makluman telah disokong oleh peningkatan khidmat sukan (15.9%), diikuti perdagangan sukan (16.3%).

Sementara eksport sukan pula menyumbang RM11.5 bilion (0.8%) kepada eksport negara bagi 2022, disusuli aliran import RM6.1 bilion, menyumbang 0.5% kepada ekonomi Malaysia.
