Sebagai langkah menangani aktiviti ketirisan melibatkan bahan api di negara, kerajaan dijangka melaksanakan pengapungan harga diesel pada pasaran Malaysia. Seperti yang umum ketahui, ketika ini harga runcit diesel di pasaran dilaraskan pada RM2.15 seliter. Sekiranya ia diapungkan – ini akan membawa kepada penetapan harga mengikut permintaan pasaran sekitar RM3.50 seliter.
Berdasarkan perbezaan harga itu, jelas menunjukkan terdapat segelintir pihak akan meraih keuntungan yang besar jika menjalankan aktiviti ketirisan dan setakat ini sahaja didapati kuantiti diesel telah naik mendadak daripada 6.1 bilion liter (2019) kepada 10.8 bilion liter (2023) – ini memaparkan lonjakan 70%.
Antara faktornya adalah berlaku aktiviti penjualan diesel bersubsidi.
Buat pengetahuan umum subsidi diesel di Malaysia telah naik 10 kali ganda kepada RM14.3 bilion pada 2023 berbanding RM1.4 bilion pada 2019.
Maklum-balas Menteri Kewangan II, Amir Hamzah bersama laporan Bernama ini menjelaskan, maka tindakan pengapungan diesel adalah wajar untuk membasmi kegiatan tersebut dan meningkatkan manfaatnya kepada kumpulan rakyat negara. Adanya langkah pengapungan, maka jurang perbezaan harga runcit dan komersial dapat ditutup.
Dijangka langkah penyasaran dan pendekatan laras harga diesel ini berupaya dilaksanakan pada tahun ini. Bagaimanapun tiada perincian lanjut berhubung makluman tersebut.
Berbalik kepada pelarasan harga runcit diesel – sekiranya benar Malaysia akan melaksanakan pengapungan diesel maka harga RM3.50 seliter dilihat masih lagi rendah dibandingkan dengan negara serantau yang lain. Di mana Thailand (RM4.12 seliter), Indonesia (RM4.73 seliter) dan Singapura (RM8.87 seliter).